Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan bantuan khas kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam yang berada di bawah pentadbiran di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata pemberian BKK itu akan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM6 juta.
Katanya, pemberian berkenaan sebagai usaha meringankan beban kewangan seramai 4,050 anggota pentadbiran kerajaan negeri dalam membuat persiapan menyambut hari raya tahun ini.
“Sukacita saya mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam yang berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri untuk persiapan menyambut Aidilfitri.
“Pemberian BKK ini juga bagi merancakkan ekonomi Negeri Sembilan selaras dengan tema Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2022, Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini, tadi.
Aminuddin berkata, pemberian BKK itu yang akan dilakukan pada 15 April ini turut dipanjangkan kepada semua anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dan badan berkanun negeri.
“Kerajaan negeri mengharapkan pemberian BKK ini akan meningkatkan lagi motivasi penjawat awam negeri untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang,” katanya.
Sumber: Harian Metro