Bantuan Awal persekolahan (BAP) merupakan salah satu daripada bantuan yang disediakan oleh kerajaan bagi meringankan kewangan keluarga yang berpendapatan rendah.
Mula diperkenalkan pada tahun 2012, ia bertujuan membantu ibubapa atau penjaga pada awal sesi persekolahan setiap tahun.
Ia diberikan kepada murid-murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya dari kalangan keluarga yang berpendapatan Isi Rumah Kasar RM3,000.00 dan ke bawah.
Oleh yang demikian, sekiranya anda ingin memohon Bantuan Awal Persekolahan ini, beberapa perkara berikut anda perlu ketahui dan teliti agar permohonan anda diterima.
Syarat dan Kriteria Kelayakan
Murid-murid yang layak mendapat bantuan awal persekolahan hendaklah memenuhi kriteria berikut:
- Murid warganegara Malaysia (perlu dibuktikan dengan sijil lahir/mykid/mykad yang disahkan atau apa-apa dokumen yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia) ;
- Murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya yang berasal dari kalangan isi rumah berpendapatan bulanan KASAR sebanyak RM3,000.00 dan ke bawah pada tahun semasa. Pendapatan KASAR bulanan adalah pendapatan yang mengambil kira gaji hakiki/pokok dan elaun-elaun tetap sahaja. Elaun lebih masa dan elaun-elaun yang bersifat tidak tetap tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan KASAR bulanan ;
- Bantuan ini diberikan kepada murid-murid yang bersekolah di Sekolah Kerajaan (SK), Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK), Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Swasta (selain sekolah antarabangsa).
Jumlah Bayaran
Murid yang menerima BAP akan diberi bantuan sebanyak RM100.00 bagi seorang murid secara sekaligus (one-off).
Cara Memohon
Ibu bapa atau penjaga perlu mengisi borang PB-1 yang boleh diperolehi dari pihak sekolah atau boleh download borang tersebut di bawah ini.
Sekiranya ibu/bapa/penjaga yang bekerja sendiri dan tiada penyata pendapatan atau slip gaji, hendaklah mengisi borang PB-2 di bawah.
Borang ini perlu dikemukakan oleh ibu bapa/penjaga bagi memohon Bantuan Awal Persekolahan kepada pihak sekolah dengan mengisi maklumat lengkap iaitu:
- Butir-butir murid (Bahagian B)
- Pendapatan keluarga (Bahagian C)
- Perakuan Ibu/Bapa/Penjaga (Bahagian D)
* Bahagian A dan bahagian E tidak perlu diisi oleh ibu bapa atau penjaga kerana ia akan diisi oleh pihak sekolah jawatankuasa kelulusan bantuan murid peringkat sekolah.
Dokumen Yang Diperlukan
Penghantaran borang yang telah lengkap boleh dilakukan ke pejabat sekolah mengikut SOP yang telah ditetapkan.
1. Borang PB-1 (telah lengkap)
2. Borang PB-2 (jika tiada penyata pendapatan)
3. Salinan sijil lahir murid
4. Salinan KP Ibu Bapa/ Penjaga
5. Bukti pendapatan (salinan slip gaji/ penyata pendapatan/ Borang Pengesahan Pendapatan-Borang PB-2)
5. Salinan Kad OKU (jika berkenaan)
6. Sijil kematian ibu/ bapa (jika berkenaan)
Borang Pengesahan Pendapatan (Borang PB-2)
Bagi ibu/bapa/penjaga yang tidak mempunyai penyata pendapatan/slip gaji perlu mengisi borang PB-2 sebagai akuan pendapatan.
Ia peru ditandangan dan mendapat cop rasi daripada mana-mana pegawai berikut:
- Pegawai Kerajaan Kumpulan A (Pengurusan & Professional); atau
- Pengerusi JKKK; atau
- Penyelia Pembangunan Mukim; atau
- Penghulu; atau
- Penggawa; atau
- Ketua Kampung atau yang setaraf dengannya
PERINGATAN: Pernyataan butiran yang palsu dengan niat memperdaya atau mengelirukan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi meluluskan skim bantuan ini adalah melakukan satu kesalahan rasuah di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000.00, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia