Pemberian Subsidi Yuran TASKA RM180 Di Tempat Kerja

Kerajaan melalui pembentangan Belanjawan Tahun 2023, telah bersetuju menyediakan subsidi yuran taska RM180 sebulan selain menaikkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah yang layak daripada daripada RM5,000.00 kepada RM7,000.00

Pemberian subsidi yuran taska RM180 sebulan bagi seorang anak ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh setiap penjawat awam yang perlu menghantar anak ke Taska.

Oleh yang demikian, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2023 telah menyediakan panduan dan palaksanaan Pemberian Subsidi Yuran Pengasuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak Di Tempat Kerja Sektor Awam.

Apakah yang dimaksudkan dengan TASKA di tempat kerja sektor awam? 

Taman Asuhan Kanak-Kanak di tempat kerja sektor awam yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau mendapat pengecualian pendaftaran di bawah Seksyen 3(1)(b), Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) dan diselaraskan oleh Bahagian Sumber Manusia atau bahagian yang menyelaras urusan mengenai TASKA di agensi Kerajaan.

Berapakah bilangan anak yang layak untuk menerima subsidi yuran pengasuhan TASKA? 

Tiada had bilangan anak pegawai. Subsidi yuran pengasuhan TASKA diberikan kepada setiap anak pegawai yang berumur bawah empat (4) tahun pada tarikh anak didaftar masuk ke TASKA. 

Had Kelayakan Pendapatan

Sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2023, had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah pegawai bagi tujuan pemberian subsidi yuran pengasuhan TASKA di tempat kerja sektor awam dinaikkan daripada RM5,000.00 sebulan kepada tidak melebihi RM7,000.00 sebulan.

Kadar Subsidi dan Kaedah Pelaksanaan

Kadar subsidi yang layak diberi adalah mengikut kadar yuran sebenar atau maksimum RM180.00 sebulan bagi seorang anak. 

Kadar subsidi ini dibayar terus kepada pengusaha TASKA oleh agensi di mana pegawai berkhidmat. 

Sekiranya yuran tersebut melebihi RM180.00, baki selebihnya ditanggung oleh pegawai berkenaan.

Pemberian subsidi yuran pengasuhan TASKA ini layak diberi kepada anak yang berumur bawah empat (4) tahun pada tarikh anak didaftar masuk ke TASKA.

Bagi tahun kalendar di mana umur anak genap empat (4) tahun, subsidi yuran pengasuhan TASKA boleh diteruskan sehingga 31 Disember tahun kalendar. Sebagai contoh, jika tarikh lahir anak adalah pada 24 Oktober 2019, maka   pemberian   subsidi   yuran pengasuhan TASKA adalah sehingga 31 Disember 2023.

Pemberian subsidi yuran pengasuhan TASKA hanya layak diberi kepada salah seorang pegawai sama ada suami atau isteri bagi setiap seorang anak.

Cara Memohon

Pegawai hendaklah membuat permohonan kepada Bahagian Sumber Manusia atau bahagian yang menyelaras urusan mengenai TASKA di agensi Kerajaan di mana pegawai berkhidmat. 

Semua permohonan untuk mendapatkan subsidi hendaklah menggunakan Borang Permohonan Subsidi Yuran Pengasuhan TASKA Di Tempat Kerja Sektor Awam seperti di Lampiran A. (Klik Sini)

Permohonan hendaklah disokong oleh Ketua Jabatan agensi di mana pegawai berkhidmat dengan dikepilkan bersama:

  1. salinan penyata gaji pegawai;
  2. salinan penyata gaji suami/ isteri. Bagi suami/ isteri yang tidak berkhidmat dengan Kerajaan sama ada suri rumah, bekerja sendiri, atau bekerja di sektor swasta, dokumen atau keterangan berkaitan pendapatan perlu disahkan oleh Ketua Jabatan pegawai;
  3. salinan Sijil Kelahiran anak; dan
  4. salinan Sijil Pengangkatan daripada Jabatan Pendaftaran Negara/ dokumen pengesahan anak pelihara mengikut peruntukan undang-undang/ dokumen menunjukkan hubungan dengan anak tiri, mengikut mana yang berkenaan.

Info Lanjut

Untuk lanjut mengenai Pemberian Subsidi Yuran Pengasuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak Di Tempat Kerja Sektor Awam sila lihat Pekeliling  Perkhidmatan Bilangan 1 2023 dan Soalan Lazim berikut

Scroll to Top