Dalam usaha membantu anak-anak negeri Kedah yang memerlukan bantuan kewangan dalam bidang pendidikan, kerajaan Negeri Kedah menyediakan Bantuan Pendidikan melalui Tabung Tengku Mahmud.
Melalui Tabung Tengku Mahmud, kerajaan negeri membantu anak Kedah dalam golongan anak yatim dan orang miskin yang memerlukan bantuan awal pengajian.
Apakah Tabung Tengku Mahmud?
Tabung ini bertujuan membantu anak-anak Negeri Kedah yang memerlukan kewangan bagi tujuan pendidikan. Kelulusan dan jumlah yang diberikan mengikut kepada tahap keperluan yang dinyatakan. Keutamaan diberikan kepada yang betul-betul memerlukan.
Tabung ini merupakan suatu inisiatif yang telah diwujudkan oleh Almarhum Ustaz Azizan. Tabung ini mempunyai tujuh asas aktiviti yang membawa kepada penubuhannya pada tahun 2008.
Ia memberi fokus kepada kebajikan dan pendidikan tanpa mengira kaum dan agama. Seluruh rakyat Kedah yang memerlukan berhak untuk mendapat manfaat dari dana yang terkumpul.
Tabung ini pernah mendapat kutipan sebanyak RM10 juta dan telah ramai yang mendapat manfaat darinya. Namun setelah lama tidak diaktifkan tabung ini hanya berbaki RM646,000 sahaja.
Justeru, Kerajaan Negeri Kedah yang dipimpin YAB Muhammad Sanusi Md Nor bertekad untuk menggerakkan semula pelan kutipan tabung ini supaya lebih banyak dana dapat dikumpul untuk diagih pada yang memerlukan.
Cara Memohon
Cara-cara memohon adalah sebagaimana berikut;
- Sediakan surat rasmi permohonan secara bertulis disertakan dengan tandatangan pemohon
- Kepil bersama salinan surat tawaran pengajian, salinan akaun bank dan salinan kad pengenalan pemohon
- Hantarkan surat permohonan ke Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN yang berdekatan
Contoh Surat Permohonan
Hasinah binti Hamid Kampung Telok Daya, Mukim Kubang Pasu, 06000 Jitra, kedah. 27 Ogos 2023 ___________________________________________________________________ Pejabat Menteri Besar Kedah, Blok A, Aras 3, 05250, Wisma Darul Aman. Dato’ Seri, PERMOHONAN BANTUAN PENGAJIAN MELALUI TABUNG TENGKU MAHMUD Semoga Dato’ Seri berada dalam keadaan sihat sejahtera. Dengan segala hormatnya, perkara di atas adalah dirujuk. 2. Saya Hasinah binti Hamid, 047435-02-7363, ingin memohon bantuan pengajian saya kerana saya akan menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia bagi program Diploma Dakwah dan akan masuk mendaftar pada 6 September 2023. 3. Saya merupakan anak keempat daripada 6 orang adik beradik yang telah kematian ayah dan ibu saya hanya bekerja sebagai tukang jahit dengan pendapatan berjumlah RM600 sebulan. Dengan jumlah tersebut belum tentu cukup untuk menyara kehidupan keluarga saya, apatah lagi dengan bebanan kos pengajian saya akan datang. 4. Dengan rendah hati saya memohon jasa baik Dato’ Seri bagi membantu saya meringankan beban pengajian yang ditanggung ini. Kos keseluruhan pengajian adalah sebanyak RM44,000. Bayaran yang perlu dibayar ketika hari pendaftaran adalah berjumlah RM990. Ini belum termasuk kos keperluan barangan yang perlu saya beli bagi kegunaan di universiti nanti. 5. Berikut merupakan maklumat bank saya, 0203567891012, Bank Islam, Hanisah binti Hamid. Saya boleh dihubungi melalui talian +60123456789. 6. Sehubungan dengan itu, saya amat berharap Dato’ Seri dapat membantu meringankan beban saya seterusnya dapat mendapatkan pendidikan yang baik demi masa depan keluarga saya. Sekian, terima kasih. Yang benar, …………………………………… HANISAH BINTI HAMID |