Bantuan Kewangan Khas RM500 Kegiatan Sukan Pulau Pinang Dilanjutkan Sehingga 15 April

George Town – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bersetuju untuk melanjutkan tarikh permohonan bantuan kewangan RM500.00 secara one-off kepada pengusaha kegiatan sukan dan kecergasan berdaftar sehingga 15 April 2021, kata YB Soon Lip Chee, EXCO Belia dan Sukan Pulau Pinang.

YB Soon berkata bahawa perlanjutan tarikh permohonan bantuan kewangan khas tersebut telah dibangkitkan oleh beliau dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (MKNPP) semalam dan telah dipersetujui oleh Ketua Menteri Pulau Pinang YAB. Tuan Chow Kon Yeow.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM500.00 secara one-off kepada pengusaha kegiatan sukan dan aktiviti kecergasan yang berdaftar dengan kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1 pada bulan Februari 2021.”

“Berdasarkan rekod PBT, sejumlah 194 pengusaha kegiatan industry telah didapati di seluruh Pulau Pinang termasuk pengusaha tenpin boling, snuker, yoga, zumba, senam robik, futsal, badminton, senaman, gymnasium, sukan permotoran go-kart, paintball dan pengajaran sukan.”

Beliau berkata bahawa tarikh tutup permohonan ini asalnya ditetapkan pada 15 Mac 2021. 128 permohonan telah diterima oleh Pihak Berkuasa Tempatan, di mana 25 permohonan adalah daripada MBPP dan 103 daripada MBSP.

“Oleh yang demikan, pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju untuk melanjutkan tarikh permohonan bantuan kewangan khas ini sehingga 15 April 2021 supaya para pengusaha kegiatan sukan dan kecergasan mendapatkan masa yang lebih untuk menyiapkan semua dokumen permohonan.”

“Bagi permohonan dengan dokumen secara lengkap yang diserahkan sebelum 15 Mac 2021, pihak PBT telah membuat bayaran sejak 16 Mac 2021.”

YB Soon menambah bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat mengambil berat tentang pembangunan bidang sukan dan akan senantiasa bersedia untuk memberi bantuan dan kerjasama yang bersesuaian.

Scroll to Top