Sunday, December 4, 2022
HomeSemasaBantuan Khas Kewangan Aidilfitri Kakitangan Kerajaan RM500

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri Kakitangan Kerajaan RM500

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, serta RM250 kepada pesara kerajaan.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pemberian itu akan turut membabitkan kakitangan lantikan kontrak, kontrak untuk perkhidmatan, pegawai sambilan harian (PSH) serta lantikan di bawah MySTEP dan RM250 kepada Pesara Kerajaan.

Jelasnya, bantuan khas itu yang bakal memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara, akan dibayar bersama dengan pembayaran gaji Mei, iaitu pada 6 Mei depan.

“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat, terutama ketika negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini.

“Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal daripada tahun-tahun sebelum atas keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat persiapan awal menjelang Aidilfitri.

“Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara, serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” jelas Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan, hari ini.

Tahun lalu, kerajaan turut mengumumkan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada pegawai perkhidmatan awam Persekutuan gred 56 ke bawah dan RM250 kepada pesara kerajaan.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan mempertimbang pemberian bantuan khas kewangan bersempena Aidilfitri kepada semua penjawat awam dan pesara kerajaan.

Presidennya, Adnan Mat, dilaporkan berkata, secara tradisi kerajaan setiap tahun akan memberi sejumlah bantuan khusus untuk penjawat awam dan juga pesara kerajaan bagi membeli barangan keperluan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Sehubungan itu, Adnan berharap pemberian bantuan kewangan Aidilfitri itu diteruskan tahun ini sebagai tanda penghargaan kepada semua penjawat awam disamping meringankan beban mereka.

Sumber: Berita Harian

Bantuan Terkini Keluarga Malaysia 2022

Info terkini bantuan semasa daripada Kerajaan, NGO dan lain-lain

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Sorry dah tak boleh copy!