Monday, December 5, 2022
HomeSemasaBantuan Khas Aidilfitri Kakitangan Kedah 2021 RM1,000

Bantuan Khas Aidilfitri Kakitangan Kedah 2021 RM1,000

ALOR SETAR – Seramai 5,300 penjawat awam di negeri Kedah akan menerima manfaat Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM1,000 yang akan dibayar sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 13 Mei depan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jumlah keseluruhan bantuan berkenaan adalah sebanyak RM5.3 juta yang turut disalurkan kepada pekerja kontrak, pekerja cuti separuh gaji dan yang bercuti tanpa gaji.
Katanya, jumlah berkenaan ditetapkan setelah mengambil kira kutipan hasil kerajaan negeri untuk suku pertama tahun ini yang menunjukkan prestasi memberangsangkan.

“Tahun lalu dalam tempoh yang sama, kerajaan negeri berjaya mengutip hasil sebanyak RM109 juta tetapi pada tahun ini ia meningkat lebih RM100 juta,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.

Menurutnya, kutipan itu meningkat hasil usaha keras semua pihak selain tindakan tegas yang diambil kerajaan negeri.

“Sebagai contoh, kes tanah Perwaja Steel di Gurun kita mengeluarkan notis untuk rampasan tanah sekiranya mereka tidak menjelaskan cukai tanah berjumlah RM7 juta itu.

“Mula-mula kita beri notis 6A untuk buat tuntutan, selepas tiga bulan kita beri notis 8A pula untuk membuat rampasan. Jadi mereka datang bayar dulu RM4 juta,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya juga tidak bercadang untuk memanjangkan tempoh bayaran cukai tanah yang akan berakhir pada 31 Mei depan.

“Tahun lepas tempoh bayaran dilanjutkan sehingga 31 September berikutan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tapi tahun ini kita belum bercadang untuk melanjutkannya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Bantuan Terkini Keluarga Malaysia 2022

Info terkini bantuan semasa daripada Kerajaan, NGO dan lain-lain

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Sorry dah tak boleh copy!