Bagi mengurangkan beban pemilik kenderaan yang terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini, kerajaan mengumumkan Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia bagi tujuan pembaikan & penggantian kenderaan terjejas akibat banjir:
Ia selaras sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini di mana Kerajaan menyediakan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang komprehensif bagi meringankan beban golongan yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara.
Apa itu Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia?
Ia merupakan inisiatif dan usahasama antara Kerajaan dan syarikat automotif di mana syarikat akan menawarkan diskaun sekurang-kurangnya 25% bagi kerja pembaikan serta kos tunda kenderaan secara percuma dan Kerajaan akan menyediakan baucar diskaun sehingga RM1,000.
Melalui baucar ini, ia boleh digunakan untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.
Syarat Kelayakan
Semua warganegara Malaysia yang terkesan akibat banjir adalah layak mendapat baucar ini.
Ia perlu digunakan bagi tujuan pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.
Bagaimana Cara Memohon Baucar ini?
Untuk memanfaatkan baucar diskaun tersebut, pemilik kenderaan tidak perlu membuat sebarang permohonan. Pemilik kenderaan dengan kenderaan yang rosak akibat banjir boleh menebus baucar tersebut di pusat servis atau pengedar sah untuk syarikat automotif yang terlibat.
Pengurangan kos pembaikan dinikmati secara potongan terus daripada kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar sah.
Senarai Syarikat Automotif Yang Memberikan Diskaun & Baucar
Setakat ini, hampir 20 syarikat automotif dengan rangkaian lebih daripada 1,000 pusat servis berdaftar di seluruh negara, telah bersetuju untuk menyertai inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia.
Senarai syarikat yang terlibat bersama dengan pendaftaran pusat servis sah serta bengkel, terutamanya untuk motosikal akan dikemaskini sepanjang tempoh pelaksanaan.
Maklumat senarai syarikat automotif yang terlibat setakat ini adalah sebagaimana berikut;
- Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (PERODUA)
- Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PROTON)
- Tan Chong & Sons Motor (Nissan)
- UMW Toyota Motor
- Honda Malaysia
- Mitsubishi Motors Malaysia (MMM)
- Volvo car Malaysia
- TC Euro Cars (Renault)
- Mercedes-Benz Malaysia
- BMW Malaysia
- Sime Darby Motor Group (untuk Ford, Hyundai dan lain-lain)
- Mazda, Peugeot dan KIA
- TC Subaru
- Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM)
- Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd.
- Boon Siew Honda Sdn.Bhd.
- Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS)
- Mofaz Motorsikal Sdn. Bhd.
- KMSB Motors Sdn.Bhd. (Suzuki)
Pemilik kenderaan boleh menghubungi syarikat automotif berkenaan untuk mengetahui pusat servis yang berdekatan.
Tarikh Akhir Tuntutan Baucar
Tarikh akhir tuntutan inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia adalah pada 31 Mac 2022 dan pengguna dinasihatkan untuk segera membuat tuntutan dari pusat servis/pengedar sah yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Dengan inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia ini, Kerajaan terus komited untuk memastikan bantuan berbentuk holistik kepada Keluarga Malaysia khususnya yang terkesan dengan bencana banjir supaya dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin.
Siaran Media
Sumber: Kementerian Kewangan Malaysia