Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA 2023)

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah membuka permohonan bagi mereka yang berkelayakan bagi mengisi permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) tahun 2023.

Biasiswa ini dibuka bagi mereka yang ingin mengikuti pengajian di peringkat Sarjana (Penyelidikan) atau Doktor Falsafah (Ph.D)dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang atau Kewangan Islam di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia.

Sebelum mengemukakan permohonan, pemohon dinasihatkan membaca dan memahami syarat dan tatacara permohonan sebagaimana maklumat berikut.

Apa itu Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA)?

Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) mulai tahun 2006 telah melaksanakan program baru dikenali sebagai Biasiswa Yang di-Pertuan Agong atau King Schorlarship selaras dengan keputusan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 3 November 2004 dan mendapat persetujuan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 16 Mac 2005. 

Biasiswa ini diperkenalkan bagi memberi pengiktiraf akan kebolehan luar biasa seseorang calon untuk melanjutkan pengajian di peringkat pasca ijazah (Sarjana dan PhD) khasnya dalam bidang Sains dan Teknologi dalam dan luar negeri. 

Pemilihan pertama Biasiswa Yang di-Pertuan Agong telah dibuat pada 29 September 2006 iaitu lima (5) calon Sarjana dan lima (5) calon PhD. Majlis penyampaian biasiswa ini telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.  

Penerima biasiswa ini juga diperkenalkan kepada semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam satu majlis khas sebelum Majlis Santapan Malam bagi memuliakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.

Bidang Pengajian Yang Di Taja

Bidang pengajian yang ditaja di bawah BYDPA adalah:

  1. Sains dan Teknologi
  2. Ekonomi
  3. Undang-Undang
  4. Kewangan Islam

Sub-bidang pengajian bagi bidang-bidang di atas adalah seperti di Lampiran 3.

Tempoh Permohonan

Permohonan dibuka mulai 30 Januari 2023 (RABU) sehingga 3 Mac 2023 (JUMAAT).

Syarat-Syarat Permohonan Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong (BYDPA) Tahun 2023

Syarat-Syarat Umum

  1. Warga Negara Malaysia; dan 
  2. Berumur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari 2023.

Syarat-Syarat Khusus

  1. Mempunyai keputusan akademik yang amat cemerlang di peringkat pengajian:
    • Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya bagi calon Sarjana; atau 
    • Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya bagi calon Ph.D
  2. Telah mendapat tawaran tanpa syarat (unconditional offer) bagi pengajian secara sepenuh masa pada tahun 2023 di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian seperti di Lampiran 1 dan Lampiran 2 masing-masing; atau

Telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun 2023 di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian seperti di Lampiran 1 dan Lampiran 2 masing-masing;

  1. Pengajian bagi peringkat Sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan, disertasi atau tesis. 
  2. Terlibat dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya iaitu:
    • Calon Sarjana: Penglibatan calon secara aktif adalah satu kelebihan;
    • Calon Ph.D: Penglibatan calon adalah wajib (calon tiada penglibatan dianggap tidak memenuhi syarat dan tidak akan disenarai pendek untuk temu duga).
  3. Keutamaan akan diberikan kepada calon yang aktif dalam kegiatan ko- kurukulum/ aktiviti kemasyarakatan. 

Nota : Selain daripada syarat-syarat di atas, pemohon dalam kalangan penjawat awam masih tertakluk kepada syarat-syarat cuti belajar yang berkaitan. 

Cara Memohon

Permohonan boleh dibuat dengan melengkapkan borang permohonan secara dalam talian melalui portal  http://esilav2.jpa.gov.my/online_progs/epermohonan/index.php?program=AGNG mulai 30 Januari 2023 sehingga 3 Mac 2023.

Ruangan perakuan Ketua Jabatan2 di dalam borang permohonan perlu dilengkapkan oleh pemohon yang terdiri daripada penjawat awam sahaja. 

Dokumen permohonan yang lengkap hendaklah dikemukakan dan diterima oleh pihak JPA sebelum atau pada 10 Mac 2023 (Jumaat) sama ada melalui serahan tangan atau melalui pos ke alamat berikut: 

Ketua Pengarah
Jabatan Perkhidmatan Awam 
Bahagian Pembangunan Modal Insan 
Aras 3, Blok C2, Kompleks C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan 
62510 PUTRAJAYA 

(u.p: Unit Pengurusan Penawaran Dalam Perkhidmatan)

Dokumen Yang diperlukan

Borang permohonan yang telah dilengkapkan hendaklah dicetak, ditandatangani serta dikemukakan kepada pihak JPA bersama-sama dengan dokumen- dokumen sokongan seperti berikut:

  1. Salinan ijazah pertama atau setaraf (skrol dan transkrip yang disahkan oleh pegawai berkelayakan bagi permohonan peringkat Sarjana dan Ph.D);
  2. Salinan Ijazah Sarjana atau setaraf (skrol dan transkrip yang disahkan oleh pegawai berkelayakan – bagi permohonan peringkat Ph.D);
  3. Surat tawaran tanpa syarat (unconditional offer) daripada universiti / institusi pengajian atau slip/ pengesahan pendaftaran semester pertama pengajian;
  4. Salinan sijil, surat atau apa-apa pembuktian / pengesahan penglibatan dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya yang disahkan oleh pegawai berkelayakan untuk calon Sarjana (sekiranya ada) tetapi wajib untuk calon Ph.D.
  5. Salinan sijil, surat atau apa-apa pembuktian / pengesahan penglibatan dalam kegiatan ko-kurikulum / aktiviti kemasyarakatan yang disahkan oleh pegawai berkelayakan.
  6. Kertas cadangan penyelidikan (Research Proposal) dalam Bahasa Malaysia / Bahasa Inggeris untuk pengajian dalam negara atau Bahasa Inggeris bagi pengajian di luar negara. Panduan menulis kertas cadangan penyelidikan adalah seperti di Lampiran 4; dan
  7. Borang JPA(L)LDP1A/96 yang telah dilengkapkan dan ditandatangani oleh pihak-pihak yang berkaitan – dokumen ini hanyalah untuk pemohon yang terdiri daripada penjawat awam sahaja.  

Senarai Universiti Tempatan Yang Merangkumi Pelbagai Bidang Pengajian

Senarai Universiti Terkemuka Dunia Bagi BYDPA

Panduan Menulis Kertas Cadangan Penyelidikan Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong (BYDPA) Tahun 2023

  1. Pemohon dikehendaki menyediakan dan mengemukakan kertas cadangan penyelidikan tidak kurang daripada 10 muka surat (Ph.D) dan 5 muka surat (Sarjana). Kertas cadangan penyelidikan hendaklah disediakan dalam Bahasa Inggeris (pengajian di Luar Negara) dan Bahasa Melayu/ Bahasa Inggeris (pengajian di Dalam Negara).
  2. Kandungan kertas cadangan penyelidikan hendaklah disediakan mengikut format seperti berikut:
    • Nama, No. Kad Pengenalan dan Bidang Penyelidikan (Sila letakkan di penjuru atas kanan setiap muka surat); 
    • Latar belakang atau kajian perpustakaan ringkas mengenai bidang kajian; 
    • Objektif kajian / Penyataan masalah; 
    • Skop kajian / Rangka kajian; 
    • Metodologi kajian 
    • Carta Perbatuan / Perancangan Jadual Penyelidikan; 
    • Kepentingan / Outcome / Impak / Sumbangan kajian.
      • Jelaskan dengan terperinci impak kajian dan manfaat yang boleh diperolehi sama ada secara langsung atau tidak langsung serta sumbangan kepada pembangunan negara dan masyarakat; 
      • Aspek ini perlu diberi penekanan dan tumpuan yang lebih oleh calon semasa sesi temu duga. 
    • Bibliografi ringkas.

Info dan Pertanyaan

Maklumat lanjut tentang Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA 2023);

Soala Lazim (FAQ)

Bagaimana Cara Memohon BYDPA 2023?

Secara online http://esilav2.jpa.gov.my

Bilakah Tarikh Tutup Permohonan BYDPA 2023?

3 Mac 2023 (Jumaat)

Apakah Syarat Permohonan BYDPA 2023?

Syarat Umum
1. Warganegara Malaysia; dan 
2. Umur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari 2023.

PENAFIAN: Semua yang “kami” kongsikan di halaman ini sekadar panduan dan rujukan para pembaca di laman web ini sahaja. Kami tidak ada kaitan dengan mana-mana agensi kerajaan atau syarikat yang berkaitan dengannya, segala rujukan adalah berpandukan sumber sebagaimana yang disebut.

Sumber: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

Notis Iklan BYDPA 2023
Scroll to Top