Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Yayasan Tenaga Nasional (YTN) mengumumkan Program Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) untuk golongan B40 yang ingin melanjutkan pendidikan di Institut Pengajian Tinggi di negara ini.
Dermasiswa MyBF adalah kerjasama TNB dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyelaras serta mengenal pasti calon layak daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian di tujuh universiti awam, politeknik dan kolej komuniti terpilih.
Antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).
Pengenalan Program Dermasiswa My Brighter Future
Program Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) adalah satu program di bawah pentadbiran Yayasan Tenaga Nasional yang mana ianya adalah satu usaha daripada Tenaga Nasional Berhad yang bertujuan untuk meringankan beban pelajar IPTA yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pelajaran.
Penawaran peruntukan yang bermula pada 2018 merupakan perluasan skop pemberian biasiswa sedia ada TNB melalui Program MyBF yang menumpukan kepada kumpulan sasar dari kelompok B40 (bottom-up). Dana kewangan yang ditawarkan ini dikategorikan sebagai dermasiswa.
Dermasiswa MyBF ini adalah khusus kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (UA) di peringkat ijazah pertama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Sebagai permulaan, untuk tahun 2018, Program Dermasiswa MyBF hanya melibatkan sejumlah 1000 penerima dermasiswa di peringkat Ijazah di 7 universiti yang telah diputuskan oleh ahli lembaga pengarah TNB.
Bagi tahun 2019 sehingga tahun 2022 penerima dermasiswa MyBF diperluaskan kepada 1000 orang pelajar diploma Politeknik dan Universiti Awam dan 1000 orang pelajar sijil Kolej Komuniti. Bidang pengajian adalah ditetapkan oleh ahli lembaga pengarah TNB berdasarkan core business TNB.
Kriteria atau syarat kelayakan
- Calon yang telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di IPTA dalam kursus yang telah dikenalpasti oleh pihak TNB/YTN melalui UPU.
- Calon adalah berada dalam kumpulan pendapatan isi rumah terendah seperti yang ditetapkan oleh polisi TNB, keutamaan diberi kepada pelajar yang berdaftar dengan pengkalan data eKasih.
Bidang Tajaan MyBF
Bagi Program MyBF, pemilihan pelajar layak, institusi dan bidang pengajian adalah berdasarkan keputusan di peringkat pengurusan YTN.
Permohonan
Tiada permohonan perlu dibuat untuk Dermasiswa ini. Calon Dermasiswa MyBF dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Unit Pusat Universiti (UPU) yang membuat padanan dengan pengkalan data eKasih kendalian Unit Penyelaran Jabatan Perdana Menteri pada sesi pengambilan utama kemasukan ke IPTA setiap tahun.
Jumlah Tajaan
Tajaan tahunan setiap seorang adalah berdasarkan peringkat pengajian sebagaimana berikut;
Ijazah pertama = RM10,000
Diploma = RM9,000
Sijil = RM6,600
Info dan Maklumat Lanjut;
Untuk info dan maklumat lanjut, sila layari
https://betterbrighter.my/ dan https://ytn.tnb.com.my/
Laporan Akhbar Harian Metro Bertarikh 11 Ogos 2021
TNB Tawar dermasiswa MYBF kepada 2,500 penuntut B40
Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan tajaan dermasiswa, biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN), meskipun berdepan cabaran pandemik Covid-19.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, seramai 2,500 penuntut dalam kalangan B40 akan menerima tajaan dermasiswa My Brighter Future (MyBF) pada tahun ini.
Menurutnya, TNB komited membantu penuntut melanjutkan pendidikan bagi menyokong usaha meningkatkan modal insan, terutama pelajar dari keluarga B40 untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
“Kami terpanggil meneruskan tajaan terutama MyBF kepada penuntut daripada keluarga susah melanjutkan pengajian mereka di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), lebih-lebih lagi dalam suasana pandemik Covid-19 yang masih berlanjutan.
“Dermasiswa MyBF diberikan kepada penuntut tanpa permohonan dan proses temu duga, malah tiada bayaran balik.
“Calon yang layak dipilih daripada pengkalan data Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA iaitu UPU Online dengan padanan dibuat dengan keluarga yang tersenarai dalam sistem Bank Data Kemiskinan Nasional, eKasih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dermasiswa MyBF adalah kerjasama TNB dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyelaras serta mengenal pasti calon layak daripada keluarga berpendapatan rendah melanjutkan pengajian di tujuh universiti awam, politeknik dan kolej komuniti terpilih.
Antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, tajaan tahunan setiap seorang di peringkat ijazah pertama adalah berjumlah RM10,000, diploma RM9,000 dan sijil RM6,600.
Katanya, lebih 5,000 penuntut sudah menerima manfaat MyBF membabitkan peruntukan RM66 juta sejak 2018 sehingga tahun lalu.
Tambah beliau, YTN membelanjakan lebih RM1.2 bilion membabitkan peruntukan MyBF (RM66 juta), biasiswa (RM597 juta) dan pinjaman pendidikan boleh ubah (RM547 juta) kepada lebih 18,500 penuntut sejak ditubuhkan pada 1993.
“Biasiswa dan pinjaman pendidikan boleh ubah dikhususkan untuk penuntut cemerlang dalam bidang kejuruteraan, perakaunan dan pengajian bisnes.
“YTN ketika ini juga sedang mengenalpasti calon penuntut yang berkelayakan bagi kedua-dua bentuk tajaan ini,” katanya.
Selain YTN, beliau berkata, TNB turut membantu pelajar menerusi Yayasan Canselor UNITEN (YCU) khusus kepada penuntut di Universiti Tenaga Nasional.
Kata beliau, tahun ini sebanyak RM772,000 disumbangkan bagi pembiayaan pelbagai program termasuk pembelajaran secara maya, penyelidikan pasca Covid-19 dan sekolah angkat.