[Terkini] Kerajaan Setuju Benarkan Pengeluaran Khas KWSP RM10K – PM

[TERKINI] Kerajaan bersetuju membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran khas sebanyak RM10K.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan media bertarikh 16 Mac 2022 yang bertajuk “Pengeluaran Khas KWSP RM10K”.

Menurut Perdana Menteri, berdasarkan dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Oleh yang demikian, Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu.

Datuk Seri Ismail Sabri juga memaklumkan penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas KWSP ini akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.

Syarat dan Permohonan Pengeluaran Khas KWSP 10K

Sementera itu, dalam satu kenyataan ringkas di Facebook, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan maklumat lanjut mengenai kaedah permohonan pengeluaran ini dan cara pembayaran akan dimaklumkan oleh KWSP dalam masa terdekat ini.

Oleh yang demikian, ahli-ahli dan pencarum KWSP diharap dapat bersabar sementara menanti pengumuman terkini mengenai mekanisme pengeluaran khas KWSP RM10K ini.

Sementera itu, Perdana Menteri memaklumkan bahawa walaupun kebenaran pengeluaran khas ini  merupakan keputusan yang sukar, namun kerajaan berharap agar para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

“Ini merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.”

“Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan.”

Semoga dengan pengumuman berita baik ini dapat mengurangkan beban rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun 2020.

Mudah-mudahan pengeluaran khas ini dapat membantu meningkatkan ekonomi rakyat dalam keadaan negara yang akan menuju fasa Endemik tidak lama lagi.

Scroll to Top