Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk memberikan bantuan kewangan kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) agar perniagaan mereka yang terjejas semasa tempoh pandemik dapat di bina semula.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata bantuan sekali beri (one-off) oleh kerajaan kepada pengusaha PMKS adalah tidak mencukupi memandangkan dana yang diperlukan untuk membina semula perusahaan mereka adalah agak tinggi.
Menurut Perdana Menteri, mekanisma pelaksanaan bantuan ini seperti moratorium, pengecualian pembayaran dan kadar faedah sedang diperhalusi bersama Kementerian Kewangan.
“Selama ini kita beri “one-off” punya bantuan. Tetapi bagi peniaga-peniaga, “one-off” bantuan tidak mencukupi.”
“Kalau yang mikro dapat RM3,000 “one-off”, bantu mereka dari segi untuk meneruskan hidup. Tapi apabila ekonomi semakin dibuka, kalau kita lihat banyak syarikat-syarikat perniagaan terutama mikro perniagaan.”
“Dan mereka memerlukan modal untuk “start-up” bisnes mereka”.
“Jadi saya sudah berbincang dengan Menteri Kewangan supaya kerajaan boleh memberikan bantuan modal memulakan perniagaan semula.”
Beliau berkata demikian dalam program wawancara Eksklusif Bersama Perdana Menteri yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan pada 3 Oktober 2021.
Datuk Seri Ismail Sabri yakin bagi PMKS Bumiputera, Kerajaan menyasarkan mereka menyumbang 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Dalam pada itu juga, bagi memperkasakan golongan miskin tegar dan ekonomi mikro, banyak program yang telah dirancang.
“Sebagai contoh, program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat. Kita peruntukkan sebanyak RM1.5 bilion.”
“Kita juga akan bantu mereka dari segi latihan untuk memulakan perniagaan yang terdiri daripada golongan miskin ini sekurang-kurangnya enam bulan.”
Menurut beliau lagi, di peringkat nasional, kabinet telah memutuskan satu jawatankuasa khas pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 ditubuhkan dengan dipengerusikan Perdana Menteri.
“Kita akan bermesyuarat setiap dua minggu sekali untuk memantau pelaksanaan ini,” katanya.