Dalam pembentangan Belanjawan 2023 yang lalu, Kerajaan bersetuju untuk memberikan penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800 ke bawah untuk tempoh 6 bulan.
Permohonan penangguhan ini boleh dibuat mulai 1 Mac depan.
3 Langkah Permohonan Penangguhan PTPTN

1) Layari Portal Rasmi PTPTN
Buat permohonan dengan melayari:
https://www.ptptn.gov.my/PenangguhanBayaranBalik/
2) Isi Maklumat Lengkap
Isi maklumat perhubungan, maklumat pekerjaan serta membuat perakuan kebenaran ke atas semua maklumat yang diberikan.
3) Semak Status Permohonan
Semak status kelulusan melalui e-mel dalam tempoh 7 hari bekerja selepas permohonan dibuat.
27 Soalan Lazim Penangguhan Bayaran Balik PTPTN
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam laman portalnya berkongsi 27 soalan lazim mengenai inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN;
1. Apakah maksud inisiatif penangguhan bayaran balik kepada peminjam berpendapatan bulanan RM1,800.00 ke bawah?
- Inisiatif ini bermaksud penangguhan bayaran balik akan diberikan kepada mana-mana peminjam berpendapatan kasar bulanan RM1,800.00 ke bawah yang mengemukakan permohonan.
2. Apakah manfaat yang diperoleh oleh peminjam?
- Bayaran balik peminjam akan ditangguhkan dan dikecualikan daripada tindakan penguatkuasaan dan perundangan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik berkuatkuasa
3. Adakah Ujrah/ Kos Pentadbiran dikenakan sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik ini?
- Tidak. Ujrah/ Kos Pentadbiran tidak akan dikenakan sepanjang tempoh penangguhan diberikan.
Permohonan
4. Siapakah yang layak memohon penangguhan bayaran balik ini?
- Semua peminjam yang dalam tempoh membayar balik dan mempunyai pendapatan kasar bulanan RM1,800.00 ke bawah layak memohon KECUALI peminjam yang telah menyertai Debt Management Programme (DMP) di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi pinjaman PTPTN.
5. Bilakah permohonan penangguhan bayaran balik ini boleh dilakukan?
- Permohonan penangguhan bayaran balik ini boleh dilakukan mulai 1 Mac 2023 hingga 30 Jun 2023. Kelulusan hanya diberikan sekali sahaja.
6. Bagaimanakah kaedah untuk membuat permohonan?
- Peminjam hendaklah membuat permohonan secara dalam talian di Portal Rasmi PTPTN (http://www.ptptn.gov.my/PenangguhanBayaranBalik).
7. Apakah maklumat yang perlu diisi oleh peminjam?
- Peminjam dikehendaki mengisi maklumat perhubungan, maklumat pekerjaan serta membuat perakuan kebenaran ke atas semua maklumat yang diberikan.
8. Apakah dokumen yang perlu dimuat naik oleh peminjam untuk memohon penangguhan bayaran balik?
- Peminjam hendaklah memuat naik dokumen pendapatan yang terkini mengikut kategori pekerjaan seperti berikut:
- Sektor awam/ swasta – slip gaji atau penyata cukai atau penyata KWSP
- Bekerja sendiri/ Tidak bekerja/ Pesara swasta – penyata KWSP atau akuan sumpah
- Pesara awam – penyata pencen atau akaun sumpah
Kelulusan
9. Bagaimanakah PTPTN memaklumkan status kelulusan kepada peminjam?
- PTPTN akan memaklumkan status kelulusan melalui e-mel yang dikemaskini semasa membuat permohonan dalam tempoh 14 hari bekerja selepas permohonan diterima. Kelulusan diberikan berdasarkan dokumen pendapatan yang dimuat naik.
10. Berapa lamakah tempoh penangguhan bayaran balik ini akan diberikan?
- Penangguhan bayaran balik adalah selama 6 bulan bermula pada bulan kelulusan penangguhan diberikan seperti jadual di bawah:

11. Adakah PTPTN akan membuat semakan silang dengan agensi lain bagi mengesahkan maklumat pendapatan?
- Ya. Semakan silang akan dibuat dengan mana-mana agensi yang relevan bagi memastikan maklumat yang diberikan adalah sahih dan betul.
12. Apakah yang akan berlaku sekiranya maklumat pendapatan yang diisi berbeza dengan semakan silang agensi?
- Sekiranya maklumat pendapatan yang diisi berbeza dengan semakan silang agensi, PTPTN akan membatalkan kelulusan yang telah diberikan.
Penangguhan ke atas potongan gaji/ debit terus/ standing instruction
13. Bagaimanakah pelaksanaan penangguhan bayaran balik ke atas peminjam yang sedang membuat potongan gaji/ debit terus?
- Peminjam yang sedang membuat potongan gaji/ debit terus perlu membuat permohonan penangguhan seperti yang ditetapkan.
- Setelah diluluskan penangguhan, arahan pemberhentian potongan gaji akan dikeluarkan kepada majikan terlibat (kecuali bagi data potongan gaji yang telah dikemukakan oleh PTPTN kepada majikan). Sekiranya terdapat bayaran balik yang diterima, ia tidak akan dipulangkan (refund).
14. Adakah potongan gaji akan berlaku dalam tempoh penangguhan?
- Potongan gaji tidak akan berlaku dalam tempoh penangguhan jika permohonan dibuat sebelum penghantaran data potongan gaji. Namun, potongan gaji akan berlaku dalam tempoh penangguhan jika permohonan dibuat selepas penghantaran data potongan gaji.
15. Apakah yang perlu dilakukan oleh peminjam untuk mengelakkan potongan gaji tidak berlaku dalam tempoh penangguhan?
- Peminjam hendaklah membuat semakan jadual tarikh penghantaran data potongan gaji sebelum memohon penangguhan. Jadual adalah seperti berikut:

Contoh:
Data potongan gaji bulan April bagi peminjam yang diuruskan oleh JANM dihantar pada 23 Mac 2023. Peminjam hendaklah membuat permohonan sebelum 23 Mac 2023 untuk mengelakkan potongan gaji berlaku pada bulan April 2023 atau memohon pada bulan berikutnya sebelum tarikh penghantaran data potongan gaji.
16. Bagaimanakah peminjam yang sedang membuat potongan melalui debit terus mengelakkan potongan tidak berlaku dalam tempoh penangguhan?
- Peminjam hendaklah membuat permohonan penangguhan sebelum tarikh penghantaran data debit terus sebelum memohon penangguhan. Jadual adalah seperti berikut:

Contoh:
Data potongan debit terus bulan April akan dihantar pada 31 Mac 2023. Peminjam hendaklah membuat permohonan sebelum 31 Mac 2023 untuk mengelakkan potongan debit terus berlaku pada bulan April 2023 atau memohon pada bulan berikutnya sebelum tarikh penghantaran data potongan debit terus.
17. Apakah tindakan yang perlu dibuat oleh peminjam yang membuat Arahan Tetap (Standing Instruction) sekiranya ingin memohon penangguhan bayaran balik ini?
- Setelah permohonan penangguhan bayaran balik diluluskan, peminjam yang membayar balik melalui Arahan Tetap (Standing Instruction) hendaklah membuat pembatalan dengan pihak bank. Sekiranya terdapat bayaran balik yang diterima, ia tidak akan dipulangkan (refund).
Selepas Tempoh Penangguhan Tamat
18. Adakah peminjam akan menerima perjanjian yang baharu memandangkan tempoh bayaran balik akan berubah melalui kaedah penstrukturan semula pinjaman?
- Tidak. Peminjam hanya akan menerima notis makluman penstrukturan melalui e-mel yang didaftarkan dengan PTPTN semasa membuat permohonan penangguhan.
- Walau bagaimanapun, bagi peminjam konvensional, peminjam perlu membuat penstrukturan semula pinjaman melalui kaedah pertukaran Ujrah.
19. Adakah tempoh bayaran balik pinjaman peminjam akan dilanjutkan kesan daripada penangguhan ini?
- Ya. Tempoh bayaran balik akan dilanjutkan melalui penstrukturan semula pinjaman yang dibuat secara automatik kepada semua peminjam sebelum penangguhan bayaran balik diluluskan.
20. Adakah peminjam perlu membuat permohonan baharu potongan gaji/ debit terus selepas tamat tempoh penangguhan?
- Tidak perlu. Semua potongan gaji dan debit terus akan diteruskan secara automatik sepertimana sebelum penangguhan bayaran balik.
Rekod CCRIS
21. Bagaimanakah rekod kredit CCRIS peminjam sepanjang penangguhan bayaran balik ini?
- Rekod kredit CCRIS adalah kekal seperti sebelum penangguhan diluluskan. Walau bagaimanapun, sekiranya peminjam membuat pembayaran balik, rekod kredit akan dikemas kini berdasarkan bayaran yang dibuat.
Rundingan Bayaran Balik
22. Adakah di dalam tempoh penangguhan, peminjam boleh membuat permohonan pertukaran Ujrah/ penstrukturan semula/ penjadualan semula/ penggabungan?
- Tidak boleh. Pertukaran ujrah/ penstrukturan semula/ penjadualan semula/ penggabungan tidak akan diluluskan kepada peminjam yang telah diberikan penangguhan. Peminjam boleh mengemukakan permohonan pertukaran ujrah/ penstrukturan semula/ penjadualan semula/ penggabungan selepas tempoh penangguhan tamat.
- Contoh: Peminjam diluluskan penangguhan mulai April hingga September 2023. Peminjam tidak dibenarkan membuat pertukaran ujrah dalam tempoh penangguhan dalam tempoh tersebut dan hanya boleh mengemukakan permohonan mulai bulan Oktober 2023 iaitu selepas tempoh penangguhan peminjam tamat pada bulan September 2023.
23. Adakah peminjam boleh membuat bayaran balik sepanjang tempoh penangguhan bayaran balik?
- Boleh. Peminjam boleh membuat bayaran balik melalui mana-mana saluran bayaran balik yang disediakan tanpa perlu membatalkan kelulusan yang telah diberikan.
Lain-Lain
24. Bagaimanakah kaedah mendapatkan nombor pinjaman PTPTN?
- Nombor pinjaman boleh diperoleh dengan menghubungi Careline di talian 03-2193 3000 atau di kaunter PTPTN.
25. Saya telah menghantar permohonan penangguhan. Sekiranya ada perubahan maklumat pendapatan, adakah saya masih boleh membuat kemas kini permohonan?
- Peminjam dikehendaki menghubungi Careline PTPTN untuk pembatalan permohonan terdahulu. Selepas permohonan dibatalkan, peminjam boleh membuat permohonan yang baharu dengan mengisi maklumat pendapatan yang betul. Kemudahan ini hanya terhad 2 kali sahaja bagi setiap peminjam.
26. Apakah yang akan terjadi kepada rekod pinjaman saya sekiranya saya tidak membuat permohonan menangguhkan bayaran balik walaupun berpendapatan di bawah RM1,800.00?
- Rekod pinjaman kekal seperti sedia ada. Peminjam hendaklah membuat bayaran balik mengikut amaun dan tempoh yang ditetapkan.
27. Saya merupakan peminjam PTPTN dan masih tidak bekerja. Saya telah diluluskan penangguhan sebelum ini. Adakah kelulusan penangguhan saya yang terdahulu masih terpakai?
- Bagi mereka yang telah tamat kelulusan penangguhan sedia ada pada Mac 2023, peminjam perlu membuat permohonan penangguhan bayaran balik yang baharu. Bagi mereka yang tamat kelulusan penangguhan sedia ada pada April 2023 dan ke atas, penangguhan bayaran balik akan diberikan secara automatik selama 6 bulan.
Info Lanjut dan Pertanyaan
Untuk sebarang info dan pertanyaan lanjut, peminjam juga boleh menghubungi PTPTN melalui saluran berikut:
- Pusat Panggilan (Careline) di talian 03 2193 3000;
- Live chat di Portal PTPTN (https://www.ptptn.gov.my);
- Eksekutif Pemasaran (https://www.ptptn.gov.my/pejabat-cawangan-ptptn/);
- e-Aduan PTPTN (https://eaduan.ptptn.gov.my); dan
- Media sosial rasmi @PTPTNOfficial
Sumber: PTPTN