Pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat ini perlu meneruskan pelbagai sokongan pemberian tunai serta bantuan yang disesuaikan untuk meringankan beban rakyat dan perniagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Bajet 2022 adalah ‘dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat’ dan berimpak tinggi merangkumi bantuan kepada golongan B40 dan M40 serta sokongan perniagaan bagi memastikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mendapat akses kepada pembiayaan bagi menggerakkan semua perniagaan.
“Selain bantuan berterusan kepada golongan rentan dan bukan rentan, Bajet 2022 juga adalah mesra Orang Kurang Upaya (OKU),”
Sementara itu, beberapa tinjauan di media sosial mendapati rakyat amat memerlukan bantuan tunai dan syarat yang lebih longgar bagi sesuatu permohonan bantuan.
Bantuan Tunai Yang Lebih Baik Untuk B40 dan M40
Antara yang diharapkan oleh rakyat dalam pengumuman Bajet 2022 adalah kelulusan RM10,000 i-citra secara one-off, meneruskan bantuan BPR 2.0, jumlah bantuan BKC yang ditingkatkan, jumlah bayaran yang lebih untuk golongan bujang dan lain-lain lagi.
Menurut kertas laporan konsultasi awam bagi Bajet 2022 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia di laman Portal Rasminya telah menyenaraikan hasil maklum balas daripada pelbagai pihak sepanjang pelaksanaan pemberian bantuan tunai langsung.
Dalam hal ini, Kerajaan mendapati terdapat beberapa isu yang timbul khususnya melibatkan penetapan kelayakan mendapat bantuan. Antara isu yang berbangkit dan persoalan yang diterima termasuklah:
- Syarat kelayakan terlalu ketat dan sukar untuk diluluskan sekiranya dokumen sokongan tidak dikemukakan;
- Kesukaran menetapkan kelayakan bantuan mengikut saiz dan pendapatan isi rumah (per kapita);
- Pertindihan inisiatif bantuan Kerajaan yang diterima oleh individu yang sama yang menyebabkan terdapat golongan atau individu yang mendapat bantuan tidak sewajarnya;
- Nilai bantuan yang diberikan rendah dan tidak mencukupi untuk menampung keperluan semasa;
- Keraguan ke atas kebolehpercayaan proses verifikasi permohonan;
- Kesukaran pendaftaran automatik daripada agensi-agensi Kerajaan/Kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO);
- Tahap penerimaan di kalangan penerima bantuan ke atas kaedah penyaluran bantuan secara tanpa tunai (cashless); dan
- Kesukaran untuk menyalurkan bantuan kepada penerima di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Bantuan Modal Mula Perniagaan PKS MIKRO
Sementara itu pula, bagi golongan PKS pula, mereka amat memerlukan bantuan modal perniagaan yang lebih baik bagi membangunkan semula ekonomi dan perniagaan yang terjejas teruk abikat pandemik Covid-19 dan PKP sejak tahun lepas.
Sebelum ini kerajaan telah melaksanakan beberapa bantuan GKP 1.0 sehingga 4.0. Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan yang berpanjangan yang dikuatkuasakan menyebabkan ada peniaga yang terpaksa gulung tikar perniagaan masing-masing kerana tidak lagi mampu menampung pelbagai kos.
Oleh yang demikian, para PKS amat mengharapkan suntikan modal yang lebih baik dalam Bajet 2022 bagi meneruskan perniagaan masing-masing sekaligus membangunkan kembali negara.
3 Matlamat Utama Bajet 2022
Bajet 2022 akan dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada persidangan Dewan Rakyat Jumaat ini berdasarkan 3 matlamat utama iaitu;
- Melindungi dan Memulih Kehidupan serta Mata Pencarian
- Membina Semula Daya Ketahanan Negara
- Memangkin Pembaharuan
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Belanjawan 2022 dirangka dengan jangkaan situasi ekonomi yang akan pulih daripada kesan pandemik COVID-19 pada tahun depan.
Justeru, katanya, belanjawan tahunan itu akan berusaha untuk memastikan tiada pihak yang layak tercicir, sama ada golongan rakyat mahupun perniagaan, dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan khususnya pihak yang teruk terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan tahun ini.
Jangan lupa untuk saksikan Pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz.
29 Oktober 2021, Jumaat
4:00 petang
