KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu segerakan keputusan membenarkan pengeluaran i-Citra RM10,000 secara one-off kepada rakyat yang memerlukan.
Ketua Pemuda Umno, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataannya di Facebook berkata, kerajaan terutamanya Menteri Kewangan perlu mempercepatkan keputusan membenarkan pengeluaran tuntutan rakyat ini tanpa perlu menunggu sehingga pembentangan Bajet 2022.
Walaupun sebelum ini terdapat bayangan keputusan pengeluaran ini dijangka akan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022, namun rakyat rata-ratanya dalam keadaan terdesak dan memerlukan sumber kewangan dan salah satunya adalah melalui pengeluaran KWSP i-Citra RM10 ribu secara “one-off”.
Ramai yang berterusan mesej saya untuk terus perjuangkan isu pengeluaran KWSP i-Citra RM10 ribu secara ‘one-off’. Ya, saya dan Pemuda UMNO tidak pernah berhenti untuk terus mendesak dan follow-up juga follow-through mengenai #TuntutanRAKYAT kepada Kerajaan terutamanya Menteri Kewangan agar mempercepatkan keputusan tersebut (tidak perlu menunggu sehingga pembentangan Bajet 2022), kerana rata-rata rakyat dalam keadaan terdesak.
– Asyraf Wajdi-
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan akan memperhalusi dan mengkaji secara menyeluruh mengenai cadangan untuk menaikkan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi kemudahan i-Citra.
Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata pertimbangan tersebut akan mengambil kira semua bentuk bantuan yang telah dan akan disalurkan oleh kerajaan, bagi meringankan beban ahli KWSP yang terjejas.
Pun begitu, menurut Asyraf Wajdi, pengeluaran i-citra RM10 ribu merupakan jaringan keselamatan jangka pendek agar rakyat dapat bernafas dalam keadaan pandemik bagi memulakan kehidupan baharu selepas ini.
Ada yang sinis mengatakan bahawa Pemuda UMNO kena fikirkan desakan lain kepada kerajaan seperti mewujudkan peluang-peluang pekerjaan pasca pandemik. Inipun saya setuju cuma sebagaimana hujahan saya sebelum ini, selain pendekatan jangka panjang tersebut; rakyat perlukan ‘safety net’ atau jaminan jaringan keselamatan jangka pendek seperti kebenaran mengeluarkan sebahagian kecil daripada simpanan hari tua mereka bagi membolehkan mereka bernafas dalam keadaan pandemik dan memulakan kehidupan baharu selepas ini.
– Asyraf Wajdi-
Sementara itu, beberapa netizen di ruangan komen Facebook Dr Asyraf Wajdi amat bersetuju dengan cadangan disegerakan pengeluaran ini.
Rata-ratanya amat mengharapkan pengeluaran 10K disegerakan bagi tujuan kelangsungan hidup seperti membayar hutang, memulakan perniagaan baharu dan sebagainya.