Sunday, June 26, 2022
HomeSemasaTiada i-Citra KWSP RM10K Kerana Bantuan Banjir Sudah Diberi - PM

Tiada i-Citra KWSP RM10K Kerana Bantuan Banjir Sudah Diberi – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10K, meskipun ramai mangsa terjejas dengan banjir ketika ini

Menurut Perdana Menteri, ia berikutan kerajaan sudah memperuntukkan dana dan mengumumkan bantuan yang mencukupi untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara, selain sedia menambah peruntukan berkenaan.

Selain itu, katanya, kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan i-Citra, dengan ada antaranya berisiko menjadi miskin tegar selepas pencen.

“Ada banyak kemudahan diumumkan kepada mangsa banjir. Jika ada yang mahu buka perniagaan untuk yang terjejas banjir, TEKUN menawarkan pinjaman mudah RM10,000 tanpa faedah dan moratorium, iaitu tidak perlu bayar balik pinjaman selama setahun.

“Bagi yang mahu beli barang keperluan rumah, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan beri pinjaman persendirian RM10,000 tanpa faedah, dan moratorium selama enam bulan.

“Kerajaan sudah sediakan kemudahan ini. Jika apa yang disediakan ini digunakan, Insya-Allah ia boleh membantu mangsa banjir,” katanya pada sidang media di Masjid Al-Muttaqin di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pendirian kerajaan susulan banyak pihak mendesak supaya pengeluaran i-Citra berjumlah RM10K diluluskan bagi meringankan beban mangsa banjir.

Sebelum ini, kerajaan meluluskan pengeluaran khas KWSP menerusi i-Sinar pada Mac lalu, dengan had pengeluaran antara RM10K hingga RM60K bagi mengurangkan impak pandemik.

Kerajaan kemudian mengumumkan pengeluaran khas kedua menerusi i-Citra bermula Ogos lalu, dengan had pengeluaran RM5,000.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan keberatan meluluskan pengeluaran khas ketiga kerana ramai pencarum kini memiliki jumlah simpanan yang terlalu sedikit untuk persediaan hari tua mereka.

“Tujuan KWSP adalah untuk simpanan hari tua selepas pencen. Selepas pengeluaran khas dua kali sebelum ini, 20 peratus pencarum hanya tinggal baki RM1,000.

“Kalau RM1,000, apabila pencen nanti, automatik mereka akan jadi miskin tegar. Ini yang saya risaukan.

“Malah hampir 95 peratus daripada pencarum yang miliki baki simpanan RM1,000 itu adalah dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera. Kita kena sedar perkara ini,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan waktu lebih tiga jam sejak 9.30 pagi untuk meninjau Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua di sini, yang antara kawasan paling teruk terjejas banjir di Selangor.

Sumber: Berita Harian

Bantuan Terkini Keluarga Malaysia 2022

Info terkini bantuan semasa daripada Kerajaan, NGO dan lain-lain

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Sorry dah tak boleh copy!