Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RELA, APM, Polis & Bomba

Pada tahun 2023, kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk memberikan bantuan kewangan Aidilfitri sebanyak RM300 kepada lebih daripada 200,000 anggota sukarelawan agensi penguatkuasa seperti RELA, Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis dan Bomba. 

Pemberian bantuan khas ini adalah buat julung kalinya kepada anggota penguatkuasa berkenaan sekaligus menunjukkan penghargaan kerajaan terhadap perkhidmatan sukarelawan yang berdedikasi dalam menjalankan tugas-tugas keselamatan awam dan memastikan keamanan negara.

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri ini diharapkan dapat memenuhi keperluan sukarelawan beruniform menjelang sambutan hari raya  Aidilfitri tidak lama lagi di samping meringankan kos & beban sara hidup anggota terbabit.

Berikut merupakan maklumat mengenai bantuan ini.

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri Anggota RELA, APM, Polis & Bomba

Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri untuk orang anggota RELA, Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam, Polis dan Bomba ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa beliau membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi kali kedua di Dewan Negara pada 29 Mac 2023. 

Pemberian insentif itu dibuat setelah hasil penelitian Belanjawan 2023 mendapati ada kategori yang tidak menerima manfaat yang sama membabitkan mereka dalam kalangan bukan pekerja tetap

Bantuan sebanyak RM300 akan disalurkan pada bulan April 2023 untuk membantu memenuhi keperluan anggota sukarelawan yang beruniform menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Aminurrahim Mohamed berkata ia juga adalah satu bentuk pengiktirafan kerajaan selain reaksi penghargaan kepada mereka yang sedia berbakti tidak kira masa.

“Saya anggap pemberian ini satu usaha kerajaan untuk berikan respons dan zahirkan rasa terima kasih kepada mereka yang mana sebelum ini tidak pernah dibuat atau diterima sukarelawan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Datuk Yahya Sulaiman berkata pemberian insentif tambahan dalam Belanjawan 2023 itu merupakan aspirasi Malaysia MADANI yang direalisasikan kepada setiap kumpulan masyarakat termasuk anggota sukarelawan.

Beliau berkata ini menunjukkan kerajaan hari ini bukan hanya sekadar cakap kosong sebaliknya melaksanakan setiap apa yang dihasratkan dalam gagasan tersebut terutamanya dalam memastikan tiada golongan yang tercicir.

“Mereka (kerajaan) tidak hanya cakap, tetapi merealisaikannya. Ini menunjukkan elemen insan yang mengambil kira urusan manusiawi. Kita bekerja, kerajaan juga bekerja,” katanya sambil menzahirkan terima kasih kepada kerajaan yang menghargai pengorbanan anggota sukarelawan RELA yang disifatkannya sebagai wira yang tidak didendang.

Pada masa sama, anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di Balai Bomba Sukarela Beranang, Selangor, Mohd Yusof Shafee Mohamad, 44, berkata pemberian ‘duit raya’ berkenaan tentunya akan lebih menaikkan semangat untuk anggota sukarelawan bertugas.

Yusof Shafee yang memulakan perkhidmatan sebagai PBS pada 1998 itu bagaimanapun berharap agar lebih penjelasan diberikan terhadap siapa yang benar-benar akan menerima bantuan tersebut kerana menurutnya perkara tersebut masih menjadi persoalan dalam kalangan anggota sukarelawan bomba.

“Dalam bomba, selain PBS ada juga Pegawai Bomba Bantuan (PBB) yang kerjanya macam RELA. Ada kerja maka adalah gaji, tapi dia perlu kerja. Mereka ni asalnya adalah sukarelawan berbayar tapi macam sebelum ini, kalau kerajaan umumkan bonus misalnya, mereka tidak menerimanya,” katanya.

Sementara itu, Sofea Ezzora Mohd Asri, anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) di Ibu Pejabat APM Kuala Lumpur berkata pemberian sagu hati RM300 itu merupakan satu penghargaan buat APM.

“Ia merupakan satu berita gembira dan perhatian yang tinggi buat APM terhadap kebajikan anggota APM seluruh negara,” katanya.

Jumlah Bantuan 

RM300

Tarikh Disalurkan

Bayaran bantuan akan dibuat pada pertengahan bulan April.

Info Lanjut

Layari laman portal Kementerian Kewangan Malaysia untuk mengetahui manfaat lanjut bantuan rakyat.

https://budget.mof.gov.my/manfaat/

Senarai Bantuan-bantuan lain Mengelang Aidilfitri

Tarikh Penting Menjelang Syawal
Scroll to Top