i-Sayang KWSP: Caruman 2% Suami Untuk Isteri Tercinta

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan kemudahan i-Sayang sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat terutamanya kepada isteri atau suri rumah sebagai bentuk keselamatan sosial.

Melalui inisiatif i-Sayang, ia membolehkan para suami memindahkan 2% caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke akaun isteri dalam memberikan jaminan masa depan yang lebih baik buat pasangan mereka.

Dengan adanya inisiatif ini juga, sekurang-kurangnya dapat membantu para isteri terutamanya yang tidak bekerja (suri rumah) memiliki simpanan masa depan.

Apa itu i-Sayang KWSP?

i-Sayang KWSP

i-Sayang merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan bagi memberi pilihan kepada suami (pemberi) untuk memindahkan 2% caruman syer pekerja yang diterima daripada majikan ke dalam akaun KWSP isteri (penerima).

Kenapa isteri perlu ambil tahu?

Skim ini dilaksanakan melalui usaha kerjasama antara KWSP Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat bagi membantu menjaga kebajikan dan masa depan wanita terutamanya suri rumah yang tidak mempunyai sebarang bentuk keselamatan sosial, menjadikan mereka lebih terkesan dengan kesulitan dan kejutan kewangan.

Ciri-ciri i-Sayang

  1. Pindahan 2% caruman syer pekerja suami ke akaun KWSP isteri.
  2. Permohonan adalah secara sukarela daripada suami dan pindahan akan dilakukan secara automatik setiap bulan apabila adanya caruman dari majikan yang dikreditkan ke dalam akaun KWSP suami.
  3. Pindahan caruman ini tidak boleh dibatalkan kecuali berlakunya penceraian atau kematian isteri (penerima).

Syarat-syarat Kelayakan

Syarat kelayakan terdiri daripada 2 kategori iaitu pemberi (suami) dan penerima (isteri)

Syarat kelayakan suami (Pemberi)

  1. Warganegara Malaysia atau bukan warganegara
  2. Ahli KWSP
  3. Belum mencapai umur 75 tahun
  4. Perkahwinan telah didaftarkan di bawah undang-undang Malaysia

Syarat kelayakan isteri (Penerima)

  1. Warganegara Malaysia
  2. Ahli KWSP
  3. Belum mencapai umur 75 tahun
  4. Perkahwinan telah didaftarkan di bawah undang-undang Malaysia

Cara Memohon

Permohonan pendaftaran i-Sayang dibuat secara sukarela oleh suami (pemberi) melalui dua (2) saluran berikut:

  1. i-Akaun (Ahli);
  2. Pejabat KWSP yang berhampiran berserta dengan Borang Permohonan Pendaftaran i-Sayang – KWSP 16G (SY) yang telah lengkap diisi.

>> Borang Permohonan Pendaftaran i-Sayang – KWSP 16G (SY) <<

Bagi yang belum mempunyai i-akaun, rujuk PANDUAN PENGGUNA PENDAFTARAN & PENGAKTIFAN i-AKAUN SECARA DALAM TALIAN melalui pautan berikut;

https://www.kwsp.gov.my/documents/20126/1852839/Panduan+Pengguna+i-Akaun+%28BM%29.pdf

Permohonan secara online melalui i-Akaun

  1. Log masuk i-akaun sama ada melalui portal atau aplikasi
  2. Klik pada butang i-Sayang
  3. Klik DAFTAR SEKARANG
  4. Masukkan maklumat penerima (isteri)
  5. Buat pengesahan ahli
  6. Buat pengesahan permohonan

Maklumat Penting:

Bagi membolehkan permohonan i-Sayang berjaya didaftarkan, sila pastikan perkara berikut dipatuhi:

  1. Penerima (Isteri) adalah ahli KWSP.
  2. Ahli dan Penerima (Isteri) memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan.
  3. Nombor MyKad Penerima (Isteri) yang dikunci masuk adalah betul dan tepat.
  4. Ahli (pemberi) beragama Islam boleh mendaftar maksimum seramai empat (4) penerima (isteri/isteri-isteri).

Nota: Sekiranya Penerima (isteri) belum berdaftar sebagai ahli KWSP, pendaftaran ahli boleh dibuat melalui saluran sedia ada (Kios, Kaunter KWSP dan i-Akaun Majikan).

Kaedah Pembahagian 2%

KWSP membahagikan caruman i-Sayang sebanyak 2% ke dalam akaun isteri (penerima) dengan mengkreditkan 70% ke dalam Akaun 1 dan 30% ke dalam Akaun 2.

Bila Pemindahan Caruman Dibuat?

Pemindahan caruman i-Sayang akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP isteri (penerima) selepas tempoh dua (2) bulan daripada tarikh penerimaan caruman syer pekerja suami (pemberi).

Pembatalan i-Sayang

Pembatalan tidak boleh dilakukan terhadap pendaftaran i-Sayang yang telah diluluskan tanpa apa-apa sebab. Suami (pemberi) hanya boleh membuat pembatalan jika berlaku penceraian atau kematian isteri (penerima).

Nota: Sekiranya berlaku penceraian atau kematian isteri (penerima), suami (pemberi) perlu hadir segera ke kaunter KWSP untuk membuat permohonan pembatalan. Kelewatan dalam memaklumkan perkara ini kepada KWSP akan mengakibatkan pemindahan caruman terus dibuat ke dalam akaun isteri (penerima).

Sekiranya suami ingin membuat pembatalan kerana berlaku perceraian atau kematian isteri, proses pembatalan caruman i-Sayang hanya boleh dibuat di Kaunter KWSP kerana suami (pemberi) perlu kemukakan dokumen sokongan.

Proses pembatalan caruman i-Sayang mengambil masa sebulan selepas permohonan dibuat.

Dokumen sokongan yang diperlukan semasa proses pembatalan i-Sayang adalah seperti berikut:

  1. Sijil Penceraian; ATAU
  2. Sijil Kematian Isteri (penerima)

Info Lanjut dan Pertanyaan

Maklumat lanjut dan pertanyaan berkaitan i-Sayang boleh diperoleh melalui saluran-saluran berikut:

  • Laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my; ATAU
  • Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-89226000; ATAU
  • Cawangan KWSP yang berhampiran.

Soalan Lazim (FAQ)

Bagaimanakah permohonan pendaftaran i-Sayang dibuat?

Permohonan pendaftaran i-Sayang dibuat secara sukarela oleh suami (pemberi) melalui dua (2) saluran berikut:
i. i-Akaun (Ahli); ATAU
ii. Pejabat KWSP yang berhampiran berserta dengan Borang Permohonan Pendaftaran i-Sayang – KWSP 16G (SY) yang telah lengkap diisi.

Apakah dokumen sokongan yang diperlukan semasa proses pendaftaran i-Sayang?

Tiada sebarang dokumen sokongan yang diperlukan semasa proses pendaftaran i-Sayang.

Bolehkah suami (pemberi) memohon untuk mencarum i-Sayang melebihi 2% ke dalam akaun isteri (penerima)?

Tidak boleh. Pindahan 2% adalah ditetapkan oleh Kerajaan.

Bolehkah suami (pemberi) menuntut kembali caruman yang telah dipindahkan ke dalam akaun KWSP isteri (penerima)?

Tidak boleh. Caruman yang telah dipindahkan ke dalam akaun isteri (penerima) tidak boleh dipindahkan kembali ke akaun suami (pemberi).

Perlukah suami (pemberi) mendapatkan persetujuan isteri (penerima) untuk mendaftar i-Sayang?

Tidak perlu. Pendaftaran i-Sayang adalah pilihan suami (pemberi) secara sukarela untuk memindahkan caruman 2% ke dalam akaun KWSP isteri (penerima).

Scroll to Top