12 Skim Bantuan Khairat Kematian Yang Boleh Dituntut Waris

Bantuan khairat kematian pada asalnya ialah wang yang dikumpul daripada pencarum yang tinggal di sesuatu kawasan (ahli dan anak kariah) pada kadar tertentu dan diberikan kepada waris seseorang yang meninggal dunia apabila berlaku kematian.

Namun, peredaran masa di Malaysia menyebabkan pelbagai agensi telah mewujudkan skim khairat kematian bagi tujuan membantu ahli keluarga atau waris menguruskan hal-hal berkaitan pengurusan jenazah, pembayaran hutang, pelaksanaan wasiat dan sebagainya.

Menurut Irsyad Fatwa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, wang khairat kematian boleh digunakan untuk membantu ahli keluarga si mati ataupun membantu membiayai kos pengurusan jenazah.

Dengan adanya skim khairat kematian yang disertai, ahli keluarga atau waris dapat menggunakan wang tersebut bagi tujuan-tujuan yang disebutkan di atas.

1. Khairat Kematian Khairiah Masjid/Surau

Di kalangan masyarakat Melayu, amalan ini telah dilaksanakan melalui skim khairat kematian yang dilaksanakan di kawasan kampung dan juga bandar-bandar. Biasanya skim ini dianjurkan oleh organisasi masjid atau surau di sesebuah kariah.

Jumlah yang diterima adalah berbeza mengikut kadar yang dicarum mengikut kawasan masing-masing. Kebiasaan kadar yang diterima adalah antara RM500 – RM5000 bergantung kepada kadar caruman tahunan dan jumlah penyertaan.

Syarat utama tuntutan adalah  si mati menjadi ahli/mencarum di khariah tersebut.

Cara tuntutan adalah dengan menghubungi ahli jawatankuasa yang melaksanakan skim ini di kawasan masing-masing.

2. Khairat Kematian PERKESO

Di bawah PERKESO, terdapat satu skim yang diberi nama “Faedah Pengurusan Mayat”.

Amaun sebanyak RM2,000 akan dibayar sekiranya seseorang pekerja meninggal dunia akibat daripada bencana kerja atau semasa menerima Faedah Hilang Upaya Kekal berkala. 

Pembayaran faedah akan dibuat kepada waris-waris yang layak. Sekiranya tiada waris, faedah akan dibayar kepada pihak yang menanggung segala perbelanjaan pengebumian itu.

Jumlah bayaran akan dibayar sama ada jumlah sebenar perbelanjaan ataupun RM2,000 mengikut mana yang lebih rendah berdasarkan resit yang dikemukakan.

Untuk memohon bayaran faedah ini, beberapa dokumen berikut adalah diperlukan; 

  1. Borang Tuntutan Bagi Pencen Penakat/Faedah Orang Tanggungan – Borang 24 
  2. Borang Tuntutan Faedah Pengurusan Mayat – Borang 26 
  3. Salinan Sijil Kematian Orang Berinsurans 
  4. Salinan Kad Pengenalan Orang Berinsurans ( depan & belakang ) 
  5. Lain-lain dokumen yang berkaitan

Sila rujuk maklumat lanjut di laman web PERKESO https://www.perkeso.gov.my/ 

3. Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Khairat Kematian 

Di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang baru diperkenalkan pada 1 Disember lalu, antara faedah yang diperoleh bagi pencarum suri rumah adalah melalui “Faedah Pengurusan Mayat”.

Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dibayar sekali (one-off) kepada orang tanggungan yang layak jika suri rumah berinsurans meninggal dunia sebelum mencapai umur 55 tahun.

Cara tuntutan adalah dengan mengisi BORANG TUNTUTAN FAEDAH SKIM KESELAMATAN SOSIAL SURI RUMAH dan dihantar kepada pihak PERKESO.

4. Khairat Kematian Skim Takaful

Jika si mati meninggal dunia dan pernah menyertai mana-mana Skim Takaful yang masih aktif, ahli keluarga atau waris yang dinamakan boleh menuntut manfaat Khairat Kematian di bawah skim takaful masing-masing.

Jumlah manfaat yang diterima adalah berbeza mengikut jenis takaful yang disertai. Ada yang RM1000, ada yang RM3000 dan ada yang lebih dari RM10,000.

Oleh yang demikian, penerima manfaat takaful perlu memberi tahu waris tentang takaful mana yang disertai bagi memudahkan urusan tuntutan sekiranya berlaku kematian kelak.

5. Bantuan Kematian KWSP

Bantuan Kematian merupakan tanda simpati KWSP terhadap waris terdekat ahli (atas budi bicara KWSP). Bayaran sebanyak RM2,500 dibayar sekali sahaja kepada “orang tanggungan ahli” yang layak (balu/duda, anak, atau ibu bapa ahli tertakluk kepada status perkahwinan ahli).

Syarat kelayakan adalah sebagaimana berikut;

  • Ahli yang telah meninggal dunia adalah Warganegara, Penduduk Tetap (PR) dan Bukan Warganegara (yang mendaftar sebelum 1 Ogos 1998)
  • Orang tanggungan ahli (balu/duda/anak/ibu bapa) Tertakluk kepada status perkahwinan ahli
  • Permohonan mesti diterima dalam tempoh 6 bulan dari tarikh kematian ahli
  • Ahli mati sebelum mencapai umur 60 tahun
  • Ahli masih mempunyai simpanan KWSP

Sila rujuk pautan berikut sekiranya ingin membuat tuntutan;

https://www.kwsp.gov.my/ms/member/withdrawals/full/death

6. Bantuan Mengurus Jenazah (BMJ) JPA

Bantuan Mengurus Jenazah (BMJ)

Pesara kerajaan yang meninggal dunia pada atau  selepas 15 Oktober 2010 adalah layak menerima Bantuan Mengurus Jenazah (BMJ) sebanyak RM3000.

Bantuan Mengurus Jenazah Pesara

Menurut Bahagian Pencen JPA, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023, permohonan Bantuan Mengurus Jenazah susulan kematian pesara Kerajaan dalam tempoh persaraan perlu dikemukakan permohonan kepada pihak KWAP dalam tempoh dua belas (12) bulan daripada tarikh kematian pesara.

Permohonan perlu menggunakan borang format baharu yang boleh didapati melalui pautan berikut :

http://www.jpapencen.gov.my/…/bmj/Borang_BMJ-BM-2023.pdf

Untuk info lanjut sila rujuk http://www.jpapencen.gov.my/bmj.html

7. ASNB Khairat Kematian 

Mungkin ramai yang tidak tahu, sekiranya pencarum skim-skim unit amanah di bawah ASNB meninggal dunia, waris yang layak boleh membuat tuntutan khairat kematian bagi skim-skim pelaburan seperti ASB, ASB2, ASB Didik dan lain-lain lagi.

Syarat utama tuntutan khairat kematian di bawah ASNB adalah mestilah dalam tempoh 6 bulan kematian.

Kelayakan bantuan Khairat ASNB adalah tertakluk kepada jumlah pegangan unit si mati pada tarikh Kematian seperti berikut:

Jumlah Pegangan UnitJumlah Khairat
Bawah 1,000.00 unitRM200
1,000.00 unit dan ke atasRM500

Permohonan bantuan Khairat ASNB boleh dilakukan di mana-mana cawangan ASNB atau ejen-ejen mengikut prosedur terkini.

Penerimaan bantuan Khairat ASNB adalah secara tunai sahaja di kaunter cawangan ASNB atau ejen.

Lihat senarai cawangan ASNB melalui pautan berikut;

https://www.asnb.com.my/asnbv2_6contact.php#cawangan

8. Bantuan Khairat Kematian FELDA

Bantuan ini merupakan satu skim berbentuk SUMBANGAN KHAIRAT KEMATIAN yang diberikan kepada Waris Peneroka sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan Pengurusan FELDA terhadap warga peneroka yang telah setia bersama-sama FELDA dalam membangunkan sosioekonomi Tanah Rancangan.

Skim yang telah diperkenalkan sejak 2008 ini merupakan salah satu aktiviti kebajikan untuk meringankan bebanan kewangan waris dalam menyelesaikan urusan kematian peneroka

Syarat & Kelayakan;

  • Satu keluarga hanya layak terima SEKALI sahaja.
  • Keutamaan adalah untuk kematian peneroka asal , sekiranya peneroka asal meninggal sebelum skim diperkenalkan maka isteri peneroka yang akan layak.
  • Tiada bayaran kepada peneroka asal, bayaran khairat akan dipindahkan kepada peneroka ganti.
  • Jumlah sumbangan yang diberikan adalah dalam bentuk wang tunai sebanyak RM3,000.
  • Permohonan hendaklah dibuat melalui Pengurus Rancangan dan  hendaklah dihantar ke Ibu Pejabat dalam tempoh 90 hari bermula dari tarikh berlaku kematian.
  • Peneroka membuat urusniaga tanah tanpa kebenaran TIDAK LAYAK terima bantuan khairat.

9. Khairat Kematian SSPN-i

SSPN-i merupakan satu instrumen simpanan tanpa komitmen bulanan yang direka khas oleh PTPTN bagi tujuan pendidikan tinggi. SSPN-i adalah berlandaskan syariah menggunakan konsep ‘Wakalah Bil Istithmar’ bermaksud ‘mewakilkan untuk tujuan pelaburan.

Antara keistimewaan simpanan melalui SSPN-i adalah khairat/ pampasan kematian untuk pendeposit (RM2,000.00) dan penerima manfaat (RM500.00).

Syarat tuntutan bagi pasangan adalah sebagaimana berikut;

  1. Hubungan adalah sah dan diiktiraf dari segi undang-undang;
  2. Berumur 18 tahun sehingga sebelum mencapai had umur perlindungan 70 tahun (mengikut Syarikat Pengendali Takaful (SPT) yang dipilih);
  3. Bagi tuntutan atas isteri (jika mempunyai lebih dari seorang isteri yang sah), khairat diberikan ke atas isteri yang mana meninggal dahulu.

Bagi anak pula,hendaklah memenuhi syarat berikut:

  1. Hubungan adalah sah dan diiktiraf dari segi undang-undang;
  2. Berumur 18 tahun sehingga sebelum mencapai had umur perlindungan 70 tahun (mengikut Syarikat Pengendali Takaful (SPT) yang dipilih);
  3. Bagi tuntutan atas isteri (jika mempunyai lebih dari seorang isteri yang sah), khairat diberikan ke atas isteri yang mana meninggal dahulu.

Info lanjut, sila rujuk https://www.ptptn.gov.my/simpan-sspn/simpan-sspn-prime/ 

10. Khairat Kematian Koperasi / Persatuan

Seandainya waris anda iaitu si mati menyertai mana-mana  koperasi atau persatuan, anda boleh menghubungi pejabat Koperasi atau persatuan tersebut.

Ini kerana biasanya setiap koperasi atau persatuan ada Khairat Kematian untuk ahli mereka dengan sumbangan dari RM1,000 – RM3,000.

Contoh;

  • Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) = RM1,500
  • Jabatan Hal Ehwal Vateran ATM (JHEV) = RM3000
  • Persatuan Nelayan Kebangsaan
  • Koperasi Muslim
  • Koperasi Tentera

11) Bantuan Pengurusan Jenazah Negeri-Negeri

Selangor Melalui SMUE/SMIS

Kerajaan negeri Selangor menyediakan khairat kematian kepada penerima SMUE/SMIS di bawah program Skim Mesra kepada yang layak.

Bantuan khairat kematian bernilai RM 500 yang akan diberikan kepada pewaris berdaftar.

Tuntutan khairat kematian hendaklah dibuat dalam tempoh 6 bulan dari tarikh kematian ahli berdaftar. 

Borang tuntutan boleh didapatkan dari Pusat Khidmat DUN berdekatan atau muat turun borang dari e-mesra.yawas.my

Lampirkan bersama dokumen yang diperlukan seperti;

  1. Borang tuntutan khairat yang telah diisi
  2. Salinan sijil kematian
  3. Salinan Kad Pengenalan pewaris
  4. Salinan penyata bank pewaris
  5. Borang Kemaskini Maklumat Pewaris (Jika Perlu)

iKafalah Kerajaan Kedah

Kerajaan negeri Kedah memperuntukkan RM3 juta untuk Bantuan Khairat Kematian (iKafalah) melalui Bajet Negeri Kedah bagi tahun 2023.

Melalui skim bantuan ini, rakyat negeri Kedah akan mendapatkan bantuan wang tersebut jika terdapat anggota keluarga mereka seperti ibu bapa atau anak yang meninggal dunia.

Jumlah bantuan yang diberikan adalah sebanyak RM500.

Ahli keluarga atau waris boleh membuat permohonan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat / Pejabat Penyelaras Dun masing-masing dalam tempoh 3 bulan dari tarikh kematian.

Pemohon perlu membawa dokumen berikut ketika membuat permohonan;

  1. Salinan Kad Pengenalan Waris yang memohon
  2. Salinan sijil kematian / Permit mengubur

 Bantuan Pengurusan Jenazah Musa’adah al-Akhirah Melaka

Musa’adah al-Akhirah merupakan bantuan pengurusan jenazah kepada waris dalam kategori B40 bernilai 200 ringgit yang menepati syarat kelayakan.

Bantuan ini disediakan kepada waris arwah / si mati yang berpendapatan di bawah RM5110.00 (Golongan B40) yang ingin memohon bantuan pengurusan jenazah meliputi Rakyat Negeri Melaka yang berbangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Borang permohonan Bantuan Pengurusan Jenazah boleh di dapati di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dun (JAPERUN) Melaka.

Borang yang lengkap hendaklah dihantar semula ke Japerun. 

Sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan, boleh rujuk JPKK kawasan atau Japerun.

12. Pembayar ZAKAT

Skim Kafalah Muzakki PPZ MAIWP

Satu skim berbentuk SUMBANGAN KHAIRAT KEMATIAN yang diberikan kepada Waris Pembayar Zakat sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang PPZ-MAIWP terhadap pembayar zakat yang telah melaksanakan kewajipan berzakat di PPZ-MAIWP.

Disamping itu dapat membantu mengurangkan bebanan kepada Waris Pembayar Zakat apabila berlaku kematian.

Waris akan menerima sumbangan sehingga RM3,000. Jumlah sumbangan yang akan diberikan kepada Waris tertakluk kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh PPZ-MAIWP.

Syarat-syarat skim adalah seperti berikut;

  1. Pembayar membayar Zakat Harta di PPZ-MAIWP setiap tahun dengan minimum bayaran RM50 setahun disemua saluran bayaran zakat PPZ-MAIWP.
  2. Pembayar yang membuat bayaran Zakat Harta dalam tahun kematian atau 1 tahun sebelum tahun kematian.
  3. Waris Pembayar Zakat hendaklah menghantar borang permohonan skim dalam TEMPOH 6 BULAN dari tarikh kematian.
  4. Bayaran selain daripada Zakat Harta tidak layak menerima skim ini.
  5. Tempoh menunggu untuk permohonan lulus adalah selama 14 hari bekerja.
  6. Layak memohon sekiranya Tarikh Kematian 30 hari dari tarikh bayar zakat kecuali disebabkan Kematian Mengejut.

Untuk tuntuan skim ini, Anda perlu ke kaunter terdekat PPZ-MAIWP untuk proses tuntutan. Klik untuk senarai kaunter. Sebarang pertanyaan, hubungi talian 1-300-88-5757.

Skim Al-Hanan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM)

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melancarkan Skim Al-Hanan, yang merupakan skim khairat kematian MAIDAM untuk para pembayar zakat yang menunaikan zakat hartanya kepada MAIDAM. Skim ini bakal memberikan manfaat kepada pembayar zakat harta serta warisnya.

Kadar manfaat adalah sebanyak RM3,000.00 bagi jumlah bayaran zakat RM50.00 dan ke atas, manakala RM5,000.00 pula bagi bayaran zakat RM1,000.00 dan ke atas.

Sementara itu, kadar agihan manfaat (kafalah) pula ialah bagi manfaat RM3,000.00, sebanyak RM2,000.00 akan diagihkan kepada waris yang menuntut, RM500.00 dimasukkan ke Tabung Wakaf Tunai Am atas nama simati dan RM500.00 ke tabung Wakaf Tunai Perkuburan Am.

Manakala bagi manfaat skim RM5,000.00, RM3,000.00 akan diagihkan kepada waris yang menuntut, RM1,000.00 ke Tabung Wakaf Tunai Am dan RM1,000.00 ke tabung Wakaf Tunai Perkuburan Am.

Untuk maklumat lanjut, para pembayar zakat bolehlah berhubung terus dengan pejabat MAIDAM yang berhampiran di seluruh negeri Terengganu.